Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Agak lama aku tidak menulis diruang ini, sebenarnya aku sendiri sudah lupa wujudnya ruang ini, dilupakan oleh daya-daya sistem.
Perkauman adalah satu daripada isu-isu riuh yang tidak pernah reda, ianya umpama satu gula-gula (sedap, peribadi, dan tersembunyi) yang tidak pernah habis dikesip. Umur aku sejak kali akhir aku menulis diruang ini sudah makin meningkat, tapi aku masih lagi bersih dari fahaman politik yang aku tidak faham, sekali lagi, aku harap sesiapa yang membaca pos aku ini tidak langsung menyemat fahaman politik engkau dalam setiap patah yang engkau baca.
Dalam surah Al-Hujurat (ayat 13) :-
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami telah jadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, Lagi Maha Mendalam PengetahuanNya akan keadaan dan amalan kamu.”
Mungkin ada diantara engkau yang berkata, “eh budak kecik! ko tidak boleh bercakap soal ini, ko belum matang”. Tidak mengapa, itu adalah hak engkau untuk bersuara, dan ini adalah hak aku juga untuk menulis. Pandangan aku sebagai budak kecik.
Kita seringkali dimomokkan dengan bertapa sensitifnya isu perkauman di negara ini, dan bagi aku sebenarnya tidak ada yang sensitif tentang isu ini, yang menjadikan isu ini sensitif adalah pemikiran kita yang dicanai sejak kecil hingga dewasa, selagi isu ini dianggap sensitif, selagi itu masalah tentang perkauman tidak akan selesai, lihat sahaja di negara-negara maju, contoh United States yang mana rakyatnya menerima Barack Obama sebagai presiden mereka, seorang kulit hitam yang suatu ketika dulu merupakan sesuatu yang tidak dapat diterima oleh rakyat Amerika. Di negara mereka, isu-isu ini dibawa ketengah untuk diperbincangkan dan pentingnya untuk memberitahu rakyat bahawa kita perlu bersatu, ini adalah salah satu proses yang perlu dilalui oleh setiap negara, dan negara Amerika yang telah merdeka sejak dari tahun 1776, beratus tahun dahulu telah melalui proses ini, ini kan kita yang baru 54 tahun merdeka masuk Ogos ini, kita perlu menerima proses ini dalam mencapai negara yang lebih stabil.
Kita dari kecil dimomokkan dengan sensitiviti perkauman. “Orang cina kalau bagi peluang, nanti dipijaknya kepala kita” kata bapa aku kepada aku. “Orang india tak boleh buat baik, pandai putar kata” kata cikgu Ramli, cikgu sekolah aku. Apa bangsa melayu itu mulia sangat kah sehingga kita seperti meletakkan hukuman pada bangsa lain?. Di sekolah juga, kita diajar bangsa-bangsa lain adalah pendatang, benar itu adalah fakta, tetapi dalam pembelajaran tidak pula ditekankan tentang bertapa pentingnya kita membina negara bersama-sama dan menerima bangsa-bangsa lain bersama kita. (tidak ditekankan sama sekali).
Jadi sekarang, apa kata kita buka minda kita, dan bagi yang beragama Islam, engkau mesti faham apa itu takdir. Agak-agak adakah mereka (bangsa selain melayu) rugi ditakdirkan lahir dalam bangsa mereka? adakah Allah itu tidak adil? dan adakah kehendak mereka (bangsa selain melayu) untuk lahir dalam bangsa mereka? semuanya telah ditakdirkan Allah. Kita perlu menerima mereka sama seperti kita menerima diri kita, kerana mereka juga makhluk Allah.
Melayu asal-usulnya dari luar juga, keturunan Nabi Ibrahim yang berhijrah ke asia tenggara, dan jika ada yang perasan tentang wujudnya Gunung Himalaya atau nama lainnya Gunung Melayu, kita tahu yang kita juga bukan lah “dilahirkan” betul-betul di Malaysia, asli penduduk Malaysia. Melayu yang ada pun sekarang ini kebanyakkannya kacukkan bangsa-bangsa lain. Ini membuktikan, bangsa itu bukanlah sesuatu yang ada tingkat-tingkat nya.
Erm, tidak salah bagi yang bangga menjadi melayu, memang melayu ini istimewa, dengan adat dan tatasusila, aku pun bangga menjadi melayu, tetapi tidaklah manis dan tidak melayu jika kita tidak menghormati bangsa lain dan tidak menerima bangsa lain seadanya. Melayu ini bukan itu sikapnya, melayu banyak dipengaruhi ajaran agama Islam, jadi Islam tidak pernah mengajar kita untuk berbangga-bangga yang keterlaluan dengan bangsa kita, perkara yang berlebih-lebihan @ keterlaluan ditegah dalam Islam, aku rasa kita tahu itu.
Apa yang aku harapkan, kita semua dapat hidup aman damai dan bekerjasama antara satu sama lain dengan hati yang suci dan bersih. Setiap manusia pasti ada melakukan kesilapan, tentunya kerana manusia itu tidak maksum. Tidak kira apa bangsa sekali pun ianya tetap sama, jadi janganlah kita merendah-rendah atau bersyak wasangka sesama kita.
nota kaki:- melayu pun banyak makan melayu.. kadang-kadang bangsa lain datang memberi bantuan dari sesama bangsa kita sendiri, bangsa ini cuma ada masa hidup aje, mati nanti bukan bangsa yang ditanya..
~


2 comments
Sumber komen-komen untuk artikel ini
Julai 22, 2011 pada 10:06 am
kas
Aku suka
Julai 22, 2011 pada 4:07 pm
writerandpen
Terima kasih